Saturday 21 July 2012

ISU PANAS- TELEFON BIMBIT DAN BUDAK SEKOLAH

Satu hari tu aku masuk kelas tingkatan 5. Sebaik saja kaki aku melangkah masuk, seorang pelajar aku dengan bangganya bangun lalu... "cikgu, best laaa budak tahun depan. dapat bawak telepon bimbit ke sekolah. Kamilah yang rugi, dah tak sempat" Spontan mulut aku bertanya " okey.. tolong bagi saya LIMA kebaikan kalau pelajar boleh bawa telefon bimbit ke sekolah?" seorang pelajar bagun lalu memberi jawapannya sama seperti mana dengan apa yang selalu diperkatakan oleh orang yang memberi cadangan agar telefon bimbit boleh dibawa ke sekolah oleh pelajar. "cikgu, kalau pelajar bawa telefon bimbit nanti ibu bapa boleh sentiasa pantau anak-anak. Selain tu, Kalau berlaku kecemasan, nanti dia boleh call ibu bapa mereka". Okey.. saya setuju.. jawabku. Kebaikan seterusnya? pelajar lain pula bangun, "cikgu, kalau pelajar bawa telefon, nanti dia boleh call ibu bapa mereka kasi tahu dia balik sekolah lewat sebab ada aktiviti kokurikulum. Ibu bapa tak bimbang". Okey.. bagus, saya setuju. Lagi...  suasana kelas mula sunyi, kebanyakan pelajar di dalam kelas tu tergaru-garu kepala memikirkan kebaikan seterusnya.


Setelah agak lama pelajar mengambil masa untuk memikirkan kebaikan seterusnya.. aku mula yakin bahawa hanya setakat itu sajalah kebaikan yang ada sekiranya pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah lantas aku tukar topik.." okey, sekarang mari kita bincang pula KEBURUKAN-KABURUKAN atau KESAN-KESAN BURUK pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah" Sebaik saja soalan itu aku kemukakan, seorang demi seorang pelajar bersilih ganti memberi pendapat masing-masing tentang keburukan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Tak menang tangkan aku menulis point-point yang diberikan oleh pelajar di papan putih sehingga dakwat marker pen pun sudah mula kering dan tak berbekas. Topik yang diperbincangkan secara spontan pada hari ini semakin panasss..Setiap point yang dikemukakan pelajar aku ulas satu persatu. Di sini sempat aku senaraikan beberapa KESAN BURUK sekiranya pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah.


KESAN 1 - MENGALAKKAN BELAKUNYA KEJADIAN CURI TELEFON BIMBIT DALAM KALANGAN PELAJAR.
Rumusanku, ya, memang tidak dapat dinafikan, sekiranya pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah masalah kecurian telefon bimbit memang tidak dapat dielakkan. Pelajar-pelajar nakal sentiasa memerhatikan dan mencari peluang untuk mencuri telefon bimbit. Sekiranya berlaku kecurian, guru disiplinlah yang menjadi mangsa keadaan apabila banyak aduan tentang kecurian telefon yang pelu dibuat laporan atau buat sport check. Kadang-kadang ada yang menjadi kes polis.




KESAN 2 - AKAN WUJUDNYA JURANG MISKIN DAN KAYA DALAM KALANGAN PELAJAR
Rumusanku, ya, memang betul keadaan ini berlaku. Hal ini disebabkan pelajar yang kaya akan cuba menunjuk-nunjuk telefon canggih kepunyaannya kepada rakan-rakan lain. Pelajar yang kaya akan berkawan sesama mereka yang juga kaya. Pelajar miskin yang tidak mempunyai telefon atau mempunyai telefon yang murah akan berasa rendah diri lalu cuba menyepikan diri.


I-phone pelajar kaya ( menjadi perhatian pencuri )
Telefon kepunyaan pelajar miskin.
KESAN 3- AKAN BERTAMBAH MASALAH SOSIAL PELAJAR JUAL TUBUH UNTUK MEMBELI GAJET ATAU TAMBAH NILAI.
Rumusanku, ya, memang benar.. baru saja akhbar Metro memberitakan tentang sekelompok pelajar yang masih mentah menjual tubuh mereka untuk dinikmati oleh lelaki hidung belang bahkan ada pelanggannya terdiri daripada lelaki yang layak dipanggil atuk. Hal ini berlaku disebabkan keghairahan pelajar tersebut untuk mendapatkan wang bagi membeli telefon yang lebih canggih. Suatu ketika dulu Harian Metro juga ada melaporkan tentang segolongan pelajar sanggup menyerahkan tubuh mereka untuk ditukar dengan kad tambah nilai yang cuma beharga 5 dan 10 ringgit.




KESAN 4- AKAN BERTAMBAH PELAJAR YANG KENA BULI
Rumusanku, ya memang betul, ada segelintir pelajar samseng telah membuli pelajar lain semata-mata untuk dirakam perbuatannya kemudian dimuat naik ke dalam you tube sekadar untuk suka-suka. Perlakuan ini juga sering terpampang di dalam surat khabar harian Metro.


Salah satu aksi buli yang dimuat turun daripada you tube
KESAN 5 - BERLAKUNYA PENYEBARAN GAMBAR-GAMBAR DAN VIDEO LUCAH
Rumusanku, ya, memang tepat sekali. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan. Perkara ini sentiasa berlaku dengan terciptanya telefon bimbit yang mempunyai kamera dan menyebarkannya secara mudah melalui bluetooth. Gambar dan video lucah yang dimuat turun daripada you tube atau yang dirakam sendiri akan disebarkan atau tukar suka sama suka dalam kalangan mereka.




KESAN 5- PERLAKUAN SEKS BEBAS BERTAMBAH
Rumusanku, memang tidak dapat dinafikan perlakuan seks bebas ini sentiasa meningkat dalam kalangan pelajar. Aksi seks suka sama suka, sama ada dengan teman lelaki atau dengan rakan sekelas memang berlaku dengan berleluasa sejak akhir-akhir ini manakala aksi seks tersebut dirakam untuk simpanan pribadi atau sekadar suka-suka. Ada yang memuat naik dalam you tube.




KESAN 6- MENIRU GUNA TELEFON BIMBIT SEMASA PEPERIKSAAN
Rumusanku, memang ada aktiviti meniru menggunakan telefon bimbit. Pelajar akan cuba sedaya upaya untuk meniru dalam peperiksaan sekiranya keadaan terdesak. Pelajar boleh tanya rakan melalui sms atau sudah set jawapan dalam bentuk point dalam telefon bimbit.Kadang-kadang semasa peperiksaan awam, ketua pengawas akan mengarahkan agar calon keluarkan telefon bimbit yang dibawa kemudian serahkan kepada pengawas peperiksaan untuk disimpan sepanjang waktu peperiksaan. Hal ini pasti akan menyusahkan kerana pengawas perlu mengawasi calon dan juga telefon calon.


cara meniru menggunakan telefon bimbit
Pengawas peperiksaan terpaksa mengawas telefon bimbit yang dibawa oleh pelajar


KESAN 7 - AKAN MENGANGGU AKTIVITI P&P YANG SEDANG RANCAK BERLANGSUNG
Rumusanku, Ya.. memang situasi ini akan berlaku. Semasa cikgu sedang asyik menyampaikan pengajaran, bunyi telefon bimbit kepunyaan pelajar sedikit sebanyak akan mengganggu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid lain akan hilang fokus dengan gangguan bunyi tersebut.




KESAN 8- PELAJAR TIDAK MENGEDAHKAN GURU MENGAJAR DI DEPAN KELAS
Rumusanku, ya, memang akan wujud situasi dimana cikgu mengajar kerusi dengan meja manakala para pelajar yang sepatutnya belajar tidak menghiraukan apa-apa. Memekik melolonglah cikgu seorang diri di depan manakala para pelajar sedang sibuk merakam gambar menggunakan gajet, bermaian permainan online, bertukar-tukar gambar lucah dengan rakan dan sebagainya di belakang kelas.


Cikgu sedang mengajar di depan, para pelajar sedang mengambil gambar di belakang kelas dengan gajet atau telefon bimbit untuk dimuat naik  dalam facebook.
Cikgu mengajar di depan, pelajar melayan 'game' di belakang kelas.
cikgu mengajar di depan, pelajar berkongsi tengok entah apa-apa ( sekadar gambar hiasan )
KESAN 9- PELAJAR CURI-CURI GUNA KEMUDAHAN WIFI DI SEKOLAH
Rumusanku, ya.. kebanyakan sekolah ada talian wifi yang begitu mudah para pelajar mengakses internet untuk melihat dan menonton perkara yang bukan-bukan melalui telefon bimbit atau gajet canggih mereka.


perkara sebegini pasti akan berlaku
KESAN 10- PELAJAR MERAKAM GAMBAR YANG TIDAK SEPATUTNYA.
Rumusanku, perkara ini memang tak boleh nak dielak. Pasti situasi begini akan berlaku sekiranya pelajar bebas membawa telefon bimbit ke sekolah. Pelajar-pelajar yang miang pasti akan mencari jalan dan peluang untuk merakam gambar bawah skirt pelajar perempuan ataupun guru wanita yang memakai skirt ke sekolah. Ada sesetengah pelajar perempuan dengan rela gambar sensitif mereka dirakam untuk sekadar suka-suka ataupun mengikut kemahuan kekasih. Ada juga yang skodeng menggunakan telefon bimbit.Ada juga pelajar yang mencabul rakan sekolah semata-mata untuk dirakam dan dimuat naik ke dalam you tube.


secara sukarela membiarkan kekasih merakam tempat-tempat yang sensitif  
Skodeng rakan dengan menggunakan gajet atau telefon bimbit
Perbuatan begini berlaku apabila pelajar yang nakal dah kering idea untuk dimuat naik dalam you tube


KESAN 11- BOLEH MENCETUSKAN PERGADUHAN AKIBAT TELEFON BIMBIT
Rumusanku, perkara ini boleh berlaku akibat salah faham atau saling menuduh antara satu sama lain. Ada juga pergaduhan tercetus akibat penghantaran sms yang mengundang rasa tidak puas hati. Banyak kes dilaporkan pergaduhan berlaku disebabkan fitnah dengan menuduh seseorang mencuri telefon bimbit kepunyaannya atau kepunyaan rakan mereka.Ada juga pengawas sekolah dipukul kerana melaporkan kepada guru disiplin aktiviti menyebarkan gambar lucah dalam kalangan pelajar melalui telefon.




KESAN 12- BELAKUNYA PENYALAHGUNAAN BAHASA DALAM KALANGAN PELAJAR
Rumusanku, hal ini sudah pasti berlaku kerana pelajar akan terikut-ikut dengan bahasa ringkas yang selalu digunakan semasa berhubung melalui sms. Bahasa sms ini mereka akan gunakan semasa membuat karangan sama ada karangan bahasa Melayu mahupun karangan bahasa Inggeris.


pencemaran bahasa seperti ini pasti akan berlaku
KESAN 13- PRESTASI PEMBELAJARAN MURID AKAN MENURUN
Rumusanku, hal ini tak dapat nak dielakkan kerana pelajar sudah hilang fokus semasa belajar. Ada sesetengah pelajar tidak mengendahkan langsung apa yang diajarkan guru di hadapan kelas sedangkan dia asyik melayan lagu-lagu mengunakan earphone. 


KESAN 14- TELEFON BIMBIT BOLEH DIJADIKAN SEBAGAI SENJATA 
Rumusanku, memang benar telefon bimbit juga boleh dijadikan senjata yang berbahaya. Ada segelintir pelajar menggunakan telefon bimbit untuk membaling musuhnya semasa bergaduh. Ada juga pasangan kekasih yang menghempas telefon bimbit mereka ke lantai semasa begaduh dan serpihannya terkena pelajar lain yang boleh menyebabkan kecederaan. Kemungkinan pelajar menggunakan telefon bimbit untuk membaling ke arah cikgu pasti ada sekiranya timbul perasaan tidak puas hati terhadap cikgu terutamanya cikgu disiplin.


telefon bimbit juga boleh dijadikan senjata
KESAN 15- MENDEDAHKAN PELAJAR KEPADA PENYAKIT SARAF
Rumusanku, memang sudah disahkan oleh pakar bahawa gelombang radiasi boleh menjejaskan kesihatan terutamanya saraf otak. Ada juga telefon bimbit tiruan buatan China meletup semasa sedang digunakan.Jadi, risiko untuk pelajar terkena penyakit pasti ada sekiranya menggunalan telefon bimbit.




KESAN 16- MENINGKATNYA USAHAWAN KAD NILAI TAMBAH DI SEKOLAH.
Rumusanku, permintaan yang tinggi terhadap kad nilai tambah menyebabkan akan ada pelajar yang mengambil peluang untuk berniaga kad 'topup' di kawasan sekolah ataupun di dalam bilik darjah. Hal ini menyebabkan pelajar tidak minat lagi untuk belajar kerana dia sudah terbiasa dengan duit yang banyak akibat penjualan kad prabayar.


KESAN 17- BERLAKUNYA PEMBAZIRAN WANG OLEH PELAJAR
Rumusanku, memang ada dilaporkan pelajar menggunakan wang belanja sekolah untuk membeli kad prabayar. Kadang-kadang ada pelajar yang sanggup mengikat perut dengan tidak makan semasa waktu rehat disebabkan kehabisan wang kerana membeli kad prabayar. Ada juga segelintir pelajar menipu ibu bapa mereka dengan mereka-reka yuran yang perlu di bayar di sekolah sedangkan wang itu hendak digunakan bagi membeli kad prabayar ataupun untuk upgrade telefon bimbit kepunyaannya.Ada juga pelajar yang sanggup mencuri wang ibu bapa mereka untuk kegunaan yang berkaitan dengan telefon bimbit kepunyaan mereka.


KESAN 18 - MENGUNDANG KEHADIRAN PERAGUT DAN PENCULIK DI PESEKITARAN SEKOLAH
Rumusanku, sekiranya semua pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, sudah tentu akan menarik minat peragut dan penculik berkeliaran di persekitaran sekolah mencari peluang untuk meragut telefon bimbit kepunyaan pelajar. Penculik juga tidak perlu menunggu lama, terus menculik pelajar secara rambang lalu merampas telefon bimbit kemudian menurunkan pelajar di mana-mana. Pelajar yang berjalan sendirian atau yang sedang menunggu ketibaan ibu bapa datang menjemput mereka lebih berisiko.




Okeylah.. terlalu banyak kesan buruk rupanya. kalau diperhalusi lagi memang bertambah-tambahlah kesan buruk. Jadi kita tidak perlu tunggu lama untuk mengambil tindakan yang sewajarnya agar perkara yang buruk tidak berlaku di depan mata. Bagi pendapat aku yang dangkal pemikiran ini, sewajarnya kebenaran untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah ditarik balik kerana saranan ini masih belum bermula. Hasil kajian juga menunjukkan 90% guru dan 80% pemimpin sekolah tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah malah lebih 75% ibu bapa dan 55% pelajar sendiri menolak cadangan ini. ( Harian Metro, Jumaat 20 Julai m/s 18) 
Mungkin orang lain ada pendapat sendiri bahkan menteri yang bertanggungjawab juga melihat kepada persepsi yang positif kerasionalan kenyataan ini. Biarlah pakar yang membuat kajian dan kita sebagai orang biasa sekadar memberi pendapat, kita serahkan kepada mereka yang pakar untuk menilainya. Sekian terima kasih. 

1 comment:

  1. Yang telefon bimbit jadi senjata tu paling menarik..saya pun pernah kena ketuk ngan nokia 3310 dulu..

    ReplyDelete