Thursday, 5 July 2012

KISAH AKU DULU-DULU


RENCANA KHAS SEMPENA UMUR AKU MENCECAH USIA 40 TAHUN

Pejam celik..pejam celik.. hari ni genaplah usia aku 40 tahun. Usia emas macam ni bukan lagi tergolong dalam lingkungan belia. Aku kena mula muhasabah diri lah untuk bekal ke akhirat nanti. tak boleh nak terus  hidup dalam keadaan lalai. Bila dah berumur macam ni, pergerakan pun mula lah terbatas.Kudrat semakin berkurangan, kerja mesti bertambah kuat untuk menyara anak-anak yang semakin membesar. Kadang-kadang.. kalau dok termenung sorang-sorang teringat la pulak zaman kanak-kanak dulu. Indahnya jadi kanak-kanak, tak payah nak pikir pasal masalah. Makan, main, tidur dan pegi sekolah saja.
Termenung mengimbau nostalgia lalu

Boleh dikatakan semua orang melalui zaman kanak-kanak tapi masa terus beredar, zaman terus berubah. Bagi aku, zaman kanak-kanak yang pernah aku lalui adalah yang paling menyeronokkan sehinggakan terasa ingin kembali ke zaman kanak-kanak dulu. Cerita pasal zaman kanak-kanak, kalau orang sebaya aku, ceritanya hampir sama saja.. tak jauh bezanya terutamanya anak orang miskin seperti aku dan tinggal pulak kat pedalaman. Okeylah.. tak payah merapu panjang-panjang. strait to the point, aku nak cerita zaman kanak-kanak aku dulu. Kalau sama dengan sape-sape, kira kita mengimbau nostalgia bersama-sama. Aku akan cerita bab demi bab.

BAB 1 - CERITA PASAL AYAH AKU

Kalau nak tahu semua, ayah aku dulu memang ekstreme sifat garangnya. Aku tidak suka untuk bermain-main dengannya apatah lagi untuk mempermain dan mempersendakannya. Berada dekat dia pun aku dah rasa gerun semacam. Kalau ayah aku jeling saja dengan hujung mata sudah aku tahu bahawa aku sudah ada buat salah yang dia nak marah. Kalau dia berdehem juga ada maknanya tu... Aku kena elert dengan bahasa badan dia kalau tak mahu kena penyakit. Kalau silap nanti kaki, tangan, kayu dan sebagainya hinggap kat badan aku. Yang aku tak tahan bila kena bedal dengan tali timba, pedih woooo..  berbirat betis dan belakang dibuatnya. Kadang-kadang kalau aku lupa bawak masuk lembu peliharaannya masuk kandang, alamatnya dengan aku sekali kena tidur dalam kandang lembu. Ayah aku tak de nak kompromi, malam-malam buta pun diarah untuk pegi ambik bawa masuk lembu ke kandang. Kadang-kadang aku rasa dia lebih sayang lembu daripada aku. Kalau lembu tercabut pelunggul dan hilang entah ke mana, aku kena cari sampai dapat mana lembu aku menghilangkan diri. Aku tak dibenarkan masuk rumah selagi lembu kesayangannya tak dijumpai. Biasanya kalau lembu tercabut pelunggul mudah dijumpai kerana lembu tu akan terbelit di mana-mana semak samun tapi kalau lembu putus tali hidung itu yang susah nak cari.
Dah nama budak-budak, memang sifat nakal susah nak buang dalam diri. Kadang-kadang aku ponteng mengaji Quran dan pergi mandi sungai atau tali air. Apabila dia dapat tahu aku tak pergi mengaji Quran tetapi pergi mandi sungai, dengan senyap-senyap dia pegi cari aku. Bila dapat tangkap kat dia, on the spot aku kena selam air sampai berbuih-buih mulut kat situ jugak. Akan bertambahlah kandungan air parit dalam perut aku. Itu biasa beb... Pernah sekali aku naik basikal tua kesayangan dia lalu aku bawak pusing-pusing keliling kampung masa ayah aku tengah tidur. Tiba-tiba rantai basikal ayah aku putus lalu aku sorong basikal ayah aku balik ke rumah dan sandarkan kat dinding rumah tempat aku ambik tadi, aku dah memang kecut perut dah. Nak bagitahu.. tak sanggup woo.... Apabila ayah aku naik basikal tu untuk pergi ke masjid, puas dikayuh dengan lajunya tapi roda basikal tak gerak-gerak. Bila dia check, terkejut beruk dia bila tengok rantai basikal dia sudah hilang. Merah berapi muka dia. Dia tak cari orang lain, aku dulu yang ditanya. Belum dia buat apa-apa aku sudah terlebih dulu nangis teresak-esak. Ayah aku memang hati batu, tak juga lembut hatinya walau aku sudah menangis lalu diangkatnya basikal terus hempas atas belakang aku. Masa tu aku baru darjah 3. Bayangkan tuan-tuan dan puan-puan. Menggelumpur aku kesakitan. Mak aku pun takut nak bantu aku tengok kemarahan ayah yang memuncak. Terasa bagai nak patah semua tulang-temulang ku dalam badan bila kena hempas dengan basikal jepunnya. tapi tak pe.. itu biasa saja bagi aku adik beradik kerana abang aku pernah kena baling ikut tingkap terus berdebabbb jatuh ke tanah.. satu pengajaran buatku. Kadang-kadang aku rasa lebih selamat apabila ayah aku tak ada kat rumah. Kakak aku lagi jahat, doakan agar ayah aku mati cepat.

macam ni lah basikal jepun ayah aku dulu. Aku naikpun sebelah kaki aje. sebelah tangan pegang dia punya galang, sebelah tangan lagi pegang handle. Bukan boleh duduk atas pelana pun.


Ada satu lagi peristiwa yang paling tragis, nak ceritapun malu rasanya. tapi takpelah.. aku ceritalah jugak.Masa tu musim banjir melanda pada musim tengkujuh. Aku kalau banjir bukan main seronok lagi sebab banyak aktiviti yang aku buat. Kadang-kadang aku bedoa pada tuhan agar banjir ni tak surut-surut. Musim banjir biasanya aku tahan jaring. lepas tahan jaring aku pergi cari belalang dengan rakit. Masa aku budak-budak, kat kampung aku adalah sawah padi yang terbentang luas. Air memutih memenuhi ruang setiap petak sawah. Aku boleh berakit ke mana-mana yang aku suka sehingga ke kampung-kampung jiran. Satu hari semasa aku sedang berakit dengan abang aku, tiba-tiba aku terpandang seekor ular katam tebu yang telah mati. Aku ingat ular tu hidup lagi maka akupun meraung-raung ketakutan. Aku terus terjun daripada rakit buluh tu dan berenag ke tepi sambil meraung. Ayah aku yang yang terdengar jeritan aku terus meluru kepada aku. Aku ingat dia mahu membantu aku tetapi dia tak tanyapun kenapa aku menanggis tetapi terus capai seketul dahan kayu lantas membelasah aku sampai terberak aku dibuatnya. Abang aku merangkap pilot rakit tersebut sempat melarikan diri daripada menjadi mangsa ayah aku. Peristiwa ni menjadi evegreen dan sering dipertuturkan oleh abang aku setiap kali keluarga aku berkumpul.

                                        Lebih kurang macam nilah kampung aku dulu

Selepas ayah aku balik daripada mengerjakan haji kat Mekah pada tahun 1982, kegarangannya semakin mengendur sedikit. Tapi awas!!! masih berbisa tau..sekali sekala kena hantuk kepala kat dinding itu kebiasaan buatku. Sekiranya aku berbalah dengan adik beradik akibat bergurau, maka kedua-duanya kena hantuk kepala sesama sendiri. Merah padam dahi aku dihantuk kat kepala adik aku sebab menangis masa bergurau. Ayah aku ni pelik sikit, sapa yang menangis masa bergurau, yang menangis tu kena dulu. Sebab tu aku adik beradik tak menangis walau sakit macam mana sekalipun masa bergurau. Aku sejak kecik-kecik lagi sudah kena basuh sendiri kain baju yang dipakai. Basuh baju cara dulu kena tenyeh betul-betul pah tu kena guna air telaga untuk bilas. bukannya air paip. Kadang-kadang kalau aku malas, aku rendam saja baju aku tu dalam baldi sampai berhari-hari. Kalau ayah aku ternampak baju aku yang hanya direndam tanpa di basuh maka dia akan bagi makan kat lembu dia baju aku tu. Mbikkk kau. dah la nak dapat baju sehelai pun kena tunggu time raya. Kasut sekolah aku kalau malas sangat nak basuh, aku tenyeh saja dengan kapur biar nampak putih sikit. tak le kena denda kat cikgu.

Kasut sekolah aku setahun sekali tukar. kadang-kadang keluar ibu jari kaki. Kasut ni jugalah aku pakai masa hari raya.
Aku kalau pasal bab iron baju memang amat malas. Lebih baik aku pakai baju yang kedut seribu daripada pakai baju yang terik lendik pergi sekolah. Mau tak malas, nak sediakan sterika bukan main banyak dia punya prosedur. Nak kena bakar tempurung dulu, pah tu ambik daun pisang buat lapik. Starika dulu bukannya ada valume yang boleh kawal kepanasan, silap-silap haribulan hangus terbakar baju aku.

Starika aku dulu-dulu. sekarang aku jadikan barang perhiasan  kat  dalam almari antik rumah aku.
Ayah aku ni memang buta huruf tetapi dia tahu prestasi pembelajaran anak-anak dia masa kat sekolah. Masa aku serahkan buku rekod kemajuan, dia akan kira berapa banyak dakwat merah berbanding dengan dakwat biru. Kalau banyak dakwat merah bermakna aku banyak gagal lalu dua tiga das penyepak hinggap kat belakang aku. Oleh sebab tu, aku selalu beranikan diri untuk tandatangan sendiri buku kemajuan aku daripada serahkan kat ayah aku. Ada sekali masa aku darjah empat, aku mencipta sejarah apabila hanya mata pelajaran Bahasa Inggeris sahaja yang berdakwat merah (gagal) manakala mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Tawarikh, Tatarakyat, Matematik, Ilmu Kesihatan, Ilmu Alam dan Pengentahuan Agama Islam semuanya berdakwat biru (lulus). Laju je aku bawa buku tersebut mengadap ayah aku. Bila ayah aku tengok ada banyak markahnya ditulis dengan dakwat biru, tersengeh dia kepuasan dengan pencapaian aku yang sebelum ini tak pernah dia tengok. Dua hari kemudian masa dia balik kerja, dia hadiahkan aku sebuah beg bimbit idamanku. Wah!! terkejut aku suprise yang dibuat oleh ayahku. Rupanya dalam garang ada juga sifat pemurahnya. Baru terasa sikit bahawa ayah aku sayang juga kat aku rupanya.
Lebih kurang macam ni lah beg bimbit yang ayah aku hadiahkan pada aku. tapi cantik sikit dan corak kotak-kotak
Sebelum tu aku pakai beg yang macam gini
Cara ayah aku mendidik anak-anak memang klasik tetapi dalam tegas ada kelembutan. Bagi aku, adalah lebih baik anak-anak takut pada seorang ayah daripada ayah takut pada anak-anak.Disiplin yang diterapkan oleh ayah aku terhadap anak-anaknya menyebabkan semua anak-anaknya menjadi 'orang'.
Kalau aku nak cerita pasal kegarangan ayah aku masa mendidik anak-anaknya dulu memang satu buku aku boleh karang tapi biarlah itu semua menjadi satu memori yang dulunya pahit tapi sekarang sudah menjadi satu memory yang manis yang tak akan dapat lupakan sampai bila-bila. Dulu memang ayah aku garang, tapi bila dah anak-anak dia besar panjang, dia adalah seorang ayah yang paling baik. Ramai adik-beradik aku jadikan ayah aku tempat untuk mengadu masalah dan mendapat nasihat. Ayah aku pula menjadi pendengar yang setia dan banyak masalah dapat diselesaikan dengan bantuan beliau terutamanya masalah yang membabitkan wang. Ayah aku juga amat rapat dengan cucu-cucu dan menantu-menantunya. Sebenarnya ayah aku mengajar aku banyak ilmu-ilmu yang perlu aku amalkan untuk kesejahteraan hidup. Dia tidak tinggal harta yang bertimbun untuk anak-anaknya tapi dia tinggal ilmu yang bermanfaat untuk kami adik beradik jadikan panduan hidup dalam mendidik anak-anak kami. Terima kasih ayah...

BAB 2 - CERITA PASAL IBU AKU

Ayah aku dulu kerja di Jabatan Pertanian bahagian kahwin anak pokok dengan pendapatan kurang RM250.00 sebulan. Anak-anak ada 9 orang untuk disuap nasi ke mulut. Jadi dengan pendapatan yang sebanyak tu, mana cukup untuk menyara keluarga yang besar sedangkan ibu aku suri rumah sepenuh masa. Ayah aku terpaksa melakukan beberapa kerja sampingan lagi untuk mencari pendapatan lebih. Penat ayah aku bekerja, balik kerja pergi kerja. Hari minggu kerja, hari Agong kerja, hari buruh kerja, Hari Raya Cina Kerja, hari raya Deepavali kerja, hari Krismas kerja, dia berhenti kerja bila dia tidur aje..begitu cekal ayah aku mencari rezeki untuk menyara anak-anak
Mak aku dulu ada laa sekangkang kera kebun getah, maka dia pun menoreh getah untuk membantu ayah menambah pendapatan. Menoreh getah dulu-dulu memang penat sedangkan hasilnya tak seberapa yang dapat. Kalau cuti sekolah hujung minggu aku ada la ringankan tulang sikit mambantu mak kutip susu getah. Fuh.. memang penat gila naik bukit turun bukit, naik busut turun busut sambil bimbit baldi susu getah di kedua-dua belah tangan. Berhenti pada setiap batang getah memunggut hasil. makin lama terasa makin lenguh dan penat sebab susu semakin banyak yang dikutip. Lepas kutip susu, kita kena masukkan dalam takung yang disediakan. Lepas tu masukkan asid untuk bekukan susu getah. Apabila susu getah dah beku, tuang dan tolak dengan tapak tangan untuk bagi nipis sebelum masuk dalam mesin getah dan dimesin menjadi getah keping secara manual. Mesin pula kena ulang beberapa kali biar getah tu jadi betul-betul nipis dan last sekali mesin dengan corak berbunga pada getah keping tersebut sebelum dijemur kering. Pendek kata rumit juga proses untuk mendapatkan sekeping getah sedangkan hasil yang dijual tidak seberapa. Kesian mak aku, betapa penatnya dia bekerja untuk menyara anak-anak yang ramai. Abang aku kata, masa aku kecik-kecik dulu mak aku terpaksa bawa aku sama-sama ke tempat dia menoreh getah. Mak aku letakkan aku di dalam bakul dan bawa dari satu tempat-ke satu tempat. Wah! sungguh cekal sekali mak aku mencari rezeki. Patut pun bila aku besar minat sangat kat hutan, bukit dan gunung.Oleh sebab mak aku selalu balik lambat daripada menoreh getah, maka aku terpaksa ikat perutlah setiap kali balik dari sekolah untuk makan. Kadang-kadang pukul 3 petang barulah dapat lunch.Tu pun lauk simple-simple saja. Tapi tak pe, asal kenyang tak mati. Sekali sekala aku tolong mak aku masak. Mak aku adalah guru aku dalam bab masak-masak ni. Banyak ilmu memasak yang dia perturunkan pada aku tapi masakan tradisional saja laa. Hebatnyaa.. sampai sekarang aku minat memasak dan boleh memasak pelbagai jenis lauk. Berkat tunjuk ajar mak aku dulu.
Oleh sebab sukar sangat untuk mendapat wang membuatkan mak aku jadi kedekut. Kadang-kadang aku pun boring dengan sikap kedekut dan berjimat yang melampau. Macam mana tak boring, dia ada bela ayam kampung, tapi ayam kampung ni aku adik beradik tak dapat merasa sebab dia akan jual ayam kemudian beli ikan kering. maka aku hanya boleh makan nasi lauk ikan kering aje laaa... Bila ayam mak aku terkena penyakit sampar, orang pun dah tak nak beli maka ayam cam ginilah baru disembelih dan digoreng. Jadi kalau aku nak makan nasik berlaukkan ayam goreng, aku kena berdoa agar ayam belaan mak aku diserang peyakit. Mak aku ada bela itik, tapi aku adik beradik jarang dapat makan telur itik sebab mak aku guna telur itik tu untuk buat kuih bahulu kemudian dijual di kedai-kedai. Kalau tersangat tak ada bahan untuk dibuat lauk barulah mak aku rebus telur itik tu untuk dimakan dengan kicap tapi sebiji telur itik dikongsi empat beradik.. fuh, dapatlah suku seorang. Bayangkan makan sepinggan nasi dengan suku atau 1/4 telur itik dan berkuah kicap cap gajah atau kicap cap budak main bola. Pandai-pandailah aku berjimat. Kalau makan lauk sotong, seekor sotong mesti dibahagi dua beradik maknanya sekerat sotong seorang untuk sepinggan nasi. Kena makan jimat-jimat la kalau mahu tambah nasi. Nasi bebas untuk ditambah walau sebanyak mana kita mampu makan kerana beras buat sendiri tapi lauk tak boleh nak tambah. Mak aku kalau masak sotong mesti kuah penuh periuk sebab jimat lauk. Makan nasi dengan kuah saja pun sudah cukup asal kenyang tak mati. Kalau mak aku rebus kerang untuk dijadikan lauk pasti kuahnya nak penuh periuk tetapi hanya 5 biji kerang je sorang yang dapat. Siap atur di tepi pinggan masing-masing. Haa.. kau pilihlah pinggan nasi mana yang kau nak tapi kuantiti isinya sama aje. Kadang-kadang kami adik beradik boleh berkelahi sebab saling mencuri lauk. Kalau kena hari betul-betul tak de lauk, aku makan nasi berlaukkan ikan kering berkuah air telaga saja. Tapi kadang-kadang aku adik-beradik berselera makan sekiranya ada lauk istimewa yang mak aku masak seperti sayur putih pucuk labu, sayur pucuk paku, sayur pucuk miding dengan ubi keledek, goreng kulat sisir dicampur telur itik, sayur air kulat busut dengan sayur cekak manis, gulai lemak ikan keli sawah, goreng ikan puyu dengan ikan haruan. Biasanya lauk istimewa ni adalah percuma yang aku dan abang aku cari di mana-mana. Kalau rajin mencari, sedaplah lauknnya. Ibu aku ni pun kreatif juga kalau pasal mencipta lauk, benda terbuang pun boleh recycle dijadikan lauk. Kulit tembikai dia masak sayur pedas, kulit buah rambai dia masak gulai lemak, buah jambu air pun dia buat sayur.. perghh.. aku bantai aje. janji kenyang tak mati. Makanan yang palinggg lazat masa aku dulu-dulu ialah sardin. Tengok je tin sardin sudah kecur air liur. Biasanya mak masak sardin bila ada tetamu datang bertandang kat rumah.Kalau nak cerita pasal makanan klasik ni, satu buku aku boleh karang. Tapi ini betul-betul, bukan rekaan. Pengalaman mengajar aku bagaimana hendak berdikari.

tengok tin sardin pun dah tak boleh tahan..
Alhamdulillah... mak aku sekarang tak kedekut lagi malah dia adalah penderma yang setia. Banyak wang ringgit telah beliau sumbang untuk kebajikan dan anak cucu dia juga sudah mewah merasa duit dia. Sebenarnya dia bukan kedekut tapi dia tak mahu mengajar anak-anak dia bermewah-mewahan dengan harta yang dikumpul sikit-sikit.Dia mengajar anak-anak makan apa saja rezeki yang Allah berikan tanpa merenggek kerana ada ramai lagi insan yang tidak dapat makan.Mak aku banyak mengajar aku erti kehidupan. Bila aku sudah dewasa dan boleh berfikir, barulah aku tahu kenapa ayah aku sangat tegas, kenapa mak aku sangat kedekut. Itu semua pembelajaran tradisional yang tidak formal tapi sangat berguna untuk melayari kehidupan pada masa depan. Perkara yang aku belajar sampai hari ni dengan mak aku ialah Rezeki pertama mesti dimakan oleh ayah dahulu. Masa aku kecik-kecik, ibu aku akan simpan kepala lauk dan kepala nasi kepada ayah aku sebelum dijamu kepada anak-anak sekiranya ayah aku tidak sempat untuk makan besama anak-anaknya.Perbuatan begitu membuatkan aku adik beradik begitu hormat pada ayah dan tidak pernah menyimpan dendam apabila aku sudah dewasa terhadap ayah malahan betambah sayang dan kasih aku dan adik beradik aku pada ayah. Apabila ayah telah meninggal dunia, boleh dikatakan setiap adik beradik menyimpan seorang sekeping gambar potret ayah. Kakak aku meletakkan gambar potret arwah ayah di hujung kepala tidurnya. Aku pula selitkan gambar paspot lama ayah di dalam dompet dan di bawa ke mana-mana.


BAB 3 - CERITA PASAL ADIK BERADIK AKU


Aku tak mahu la cerita panjang-panjang kisah adik beradik aku masa dulu kerana kehidupan aku dengan adik beradik aku yang lain lebih kurang sama saja. Sebenarnya aku adik beradik ada dua kelompok iaitu satu golongan ialah daripada abang dan kakak aku yang no 5 hingga no 1. Dia ada kisah dan peristiwa tersendiri kerana aku membesar bukan zaman dia berada di samping aku.Mungkin mereka sudah bekerja atau sudah berumahtangga kerana kakak aku yang sulung pun sudah mencecah 60 tahun. Kehidupan aku lebih berkisarkan pada zaman abang aku yang no 6 hingga no 9 kerana umur kami cuma langkau 2 tahun saja.Aku pernah dengar cerita daripada mulut abang dan kakak aku yang lebih tua. Kehidupan zaman budak-budak dan remaja mereka lebih dasyhat lagi. Dia kata pada zaman mereka kanak-kanak ayah aku lagi garang berbanding pada masa aku. Kehidupan mereka lagi susah dan serba sulit. Aku nak cerita pun takut salah fakta. Biarlah mereka cerita sendiri pada anak-anak mereka zaman mereka kanak-kanak dulu. Yang aku nak cerita kat sini kehidupan kami 4 beradik yang terakhir.
Hadi abang no 6, Robi abang no 7 aku no 8 dan isan yang bongsu no 9. Kehidupan aku masa kecik-kecik hampir sama saja. Umur lebih kurang sebaya, kawan-kawan pun sama saja. Dalam melakukan aktiviti outdoor, aku dengan Hadi lebih extreme kerana berkongsi minat yang sama. Banyak kenangan extreme adalah  datangnya daripada aku dengan Hadi. Dalam dok kamceng dengan dia, Hadi juga adalah musuh aku no 1 masa aku budak-budak kerana dia paling suka menyakat aku. Aku banyak menangis kerana dia. Aku paling banyak kena bantai kat ayah aku pun hasil peranan yang dimainkan oleh dia. Pendek kata, Hadi adalah kawan baik dan juga musuh ketat aku. Ayah aku kalau pasal batai anak-anak tak kira yang besar atau yang kecik, sama saja dia belasahnya.Pendek kata kalau Hadi kena penyepak 200 km sejam, Adik bongsu aku pun kena penyepak dengan kelajuan yang sama. Berbeza dengan mak aku, mak aku ada sikap double standard sikit. Adik bongsu aku lebih di peRAJA. Kalau orang lain makan nasi tak boleh nak tambah lauk, tapi adik aku boleh tambah lauk lagi tapi underground laa. Kalau nak ke mana-mana, mak aku pasti akan bawa adik aku bersama tapi aku sentiasa ditinggalkan. Kalau ayah aku pukul adik aku, mak aku akan masuk campur tapi tidak aku dengan abang-abangku yang lain.Mak aku sentiasa bagi duit belanja lebih untuk adik aku, tapi aku kalau nak duit lebih kena ikhtiar sendiri. Kadang-kadang aku jual botol 4 bijik 10 sen untuk dapat duit belanja lebih. Ada kalanya aku jual buah jambu air dan kadang-kadang aku jual buah getah Kerbau kat kawan-kawan aku atau jual besi buruk. Tapi itu semua aku sikitpun tak jelous.Nenek aku selalu ajar supaya melarikan diri apabila ayah aku nak pukul aku. Petua yang nenek bagi memang berkesan.Selepas aku pandai melarikan diri sebaik saja ayah aku nak belasah aku, kurang sikit aku dapat penyakit. Hadi dengan Robi sudah lama amalkan petua ni sebab tu dia paling kurang dapat habuan daripada ayah aku. Ayah aku pulak, tak ada sifat pendendam, kalau dia tak sempat nak belasah anak-anak masa dia tengah marah, malam tu mood dia akan kembali baik.


BAB 4 - CERITA PASAL DIRI AKU SENDIRI
Kalau nak cerita pasal aku memang banyak gila, so kena skip-skip la ye..Ok, aku mulakan dengan kisah aku masa sekolah rendah dahulu. Duit belanja sekolah aku dulu cuma 20 sen satu hari. 10 sen aku berbelanja untuk membeli air di kantin sekolah, 10 sen lagi aku berbelanja masa balik mengaji quran. Tapi tak pe, kat sekolah ada makan free projek rakyat termiskin luar bandar yang dibekalkan kerajaan. Setiap pelajar akan dapat satu kupon setiap hari yang mana kupon ni boleh ditukar dengan satu pinggan nasi atau dua biji kuih di kantin sekolah. Masa sekolah dulu kebanyakan pelajar datang awal. Mereka datang awal sebab nak main dulu sebelum loceng perhimpunan berbunyi. Seingat aku, ada pelbagai permainan yang boleh dimainkan dengan kawan-kawan, salah satu daripadanya ialah main tukar tiang.

Main tukar tiang, yang tengah jadi ibu

Selain tu, ada sekali sekala aku join budak-budak perempuan main lompat dalam petak untuk buat istana, orang panggil apa tah.. budak kelantan panggil main dekcok kon.
Dekcok kong ( orang luar panggil main apa ni? )
Tapi yang biasa aku tengok, budak-budak perempuan main lompat getah. Boleh dikatakan hampir semua budak perempuan bawa getah ni dalam poket. Sebelum perhimpunan pagi mereka main ni, masa rehat mereka main ni dan lepas balik sekolah pun mereka main ni, lepas mengaji quran pun mereka main ni juga. Aku sekali sekala join jugak sambil lompat sambil nyayi lagu khas dia.. (ingat sikit-sikit jah lagunya)
Sambil melompat sambil menyayi lagu
Kalau budak perempuan main lompat getah, budak laki main laga getah. Kadang-kadang kiri kanan poket seluar sekolah aku penuh dengan buah getah. Buah getah ni pulak ada macam-macam nama.  Buah getah yang paling glamer ialah getah Kerbau. Selain tu ada getah pijat yang saiznya kecil, getah lorong, getah salak, getah mesin dan sebagainya. Biasanya buah getah yang ada nama ni sudah terkenal dan laku untuk dijual. Aku kadang-kadang tu beli buah getah kerbau pakai kupon dengan kawan aku. Buah getah ternama biasanya berani makan buah getah biasa-biasa. Tapi kalau laga sama-sama buah getah sama, satu akan pecah dan satu lagi akan sumbing.

Ada hari-harinya aku main perang flying kick. Yang ni lagi ganas mainnya. Kadang-kadang kat atas belakang baju sekolah putih aku penuh dengan tapak kasut kawan-kawan aku. Sekali kena flying kick terus tersembam kat tanah. Sebab tu lutut aku kiri kanan dipenuhi parut. Bila masuk kelas.. perghh,  bau busuk menusuk hidung. Peluh membasahi baju.  Dah la baju sekolah seminggu sekali basuh sebab aku hanya ada satu helai je baju sekolah. Kalau nak beli baru kena tunggu reput dulu baju asal. kalau tak jangan mimpi nak dapat baju sekolah baru. Kumpulan abang aku pula gemar main kejar-kejar dengan menggunakan sebelah kaki. Ada dua kumpulan, satu kumpulan lari tidak melebihi sempadan, satu kumpulan lagi, seorang demi seorang akan kejar kumpulan yang lari tu dengan menggunakan sebelah kaki sehingga semua berjaya dicuit. Orang paggil main apa tah.. kawan-kawan sekolah aku dulu panggil main dekcok hambat.
Nostalgia masa sekolah rendah dulu memang laa... tak akan dapat dilupakan. Seronok sungguh pergi sekolah untuk main. Belajar ala kadar aje, main yang lebih. tapi cikgu dulu-dulu garang tau.. kalau dia denda kita ikut suka hati dia aje. Denda yang glamer ialah jalan itik, ketuk ketampi dan lompat kataklah. sekali sekala kena tarik signburn sampai terjinjing-jinjing kita dibuatnya. Pedih woooo... Satu lagi kena rotan dengan rotan bulu ayam. Kat atas tapak tangan lekat kesan cakuk U. Pengalaman aku sekali kena duduk dalam tong sampah. Masa tu aku baling sampah dari tempat duduk aku di dalam kelas terus ke dalam tong di penjuru kanan hadapan kelas tapi balingan aku tak menepati sasaran. Sampah bergolek menuju ke kaki cikgu Zakaria yang sedang menulis di papan hitam. Apa lagi... dia panggil aku ke depan dan arahkan aku masuk dan duduk dalam tong sampah besar warna hitam tu. Aku ikut arahan tu tanpa banyak soal. Nampak kepala je laaa aku sehingga habis dua masa mata pelajaran Matematik. Tapi tak kisah, tak yah ngadu kat mak bapak benda-benda macam tu nanti aku kena tambah lagi kat bapak aku.
Masa zaman aku sekolah rendah dulu, aku cukup phobia dengan van KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA. Kalau aku terpandang van tu masuk sekolah aku, tentu aku tak senang duduk macam cacing kepanasan. Sudah tentu akan kena suntik atau kena culik kat bahu. Kadang-kadang mereka datang untuk membuat pemeriksaan gigi. Aku sampai sekarang masih guna gigi yang disimen masa aku kat sekolah rendah dulu. Bergegar dalam otak masa dia mesin untuk cuci dan luaskan sedikit lubang untuk dimasukkan simen pada gigi geraham sebelah kanan aku. Kadang-kadang mereka bagi ubat kutu. Memang budak-budak kampung ada banyak kutu. Aku dulu pun penuh kutu kat atas kepala. Yang paling best mereka bagi SUSU SEGAR satu liter seorang. Oleh sebab tubuh aku kurus maka jururawat telah bagi aku Xtra Susu. Ada juga jururawat bagi berus dan ubat gigi percuma. Pendek kata, dulu-dulu kerajaan cukup jaga budak-budak sekolah di pedalaman.
Kena suntik macam ni lah yang takut ni.. kencang jantung bedegup dalam dada bila nama dipanggil
Kalau nak cerita bab sekolah rendah dulu memang tak habis satu hari. Banyak sungguh dan semuanya indah-indah. Pengalaman macam tu tak dapat dibeli. Budak-budak sekarang tak akan dapat merasa keseronokan masa kita bersekolah rendah dahulu. Lain Padang Lain Belalang, Lain Dahulu Lain Sekarang.
Gambar masa darjah 2
Rutin harian aku, lepas balik sekolah terus mandi kat perigi kemudian sembahyang zuhur lepas tu terus pergi mengaji quran kat rumah tok guru. Siapa yang sampai dulu dialah yang ngadap tok guru dulu. Boleh balik awal. Habis mengaji aku tak terus pulang ke rumah sebaliknya main dulu. Kebetulan kat depan rumah tok guru ngaji ada laman yang luas, so bolehlah main apa-apa yang patut dengan kawan-kawan. kadang-kadang sampai lewat petang aku main. Permaianan yang dimainkan pula biasanya ikut musim. kalau dah boring permaianan tu, tukar permainan lain pulak.Sebut pasal permainan, memang aku dulu main apa saja asalkan seronok. Biasanya permainan aku dulu tak pakai modal sebab aku anak miskin, tak punya apa-apa..salah satu permaianannya ialah main bola katok macam base ball. Main ni seronok sebab satu kampung budak-budak boleh main.

Selain tu.. aku jugak main guli atau main gurah. Biasanya budak-budak kat mana-mana pun main permainan ni cuma mungkin kaedah permainan yang berbeza. Main gurah ada istilahnya yang tersendiri. Antara istilahnya ialah jeka kajo, masuk lubang 1,2,3,4,5 sampai lubang 9, Main latong, duku, pakoh dan lain-lain (tok ingat)

             Aku jugak suka Main Tepuk Gambar.Gambar famous dulu ialah Ultraman, Bajar Hitam, Superman,
                                           Batman, Gambar Combat, The Six Million Dollar Man,
                                    Main Sorok-Sorok (nusut) juga salah satu permaianan yang glamer
                                         Main Baling Tin ( pekong kopi tage getoh atau gambar) 

Main bola  kaki tiga

                                                                     Main Bidah Paro

                                           
                              Main Tudung Botol ( ceper ) ada buah jamban, ada buah bunga, ada buah free

Senapang kayu. Terpengaruh dengan cerita COMBAT

                                                                        Main Gasing

Main bedir rocoh peluru buah cenerai
                                                                                                                
Tapi dalam banyak-banyak permainan dulu-dulu, lastik burunglah yang paling evegreen kerana kat kampung ada banyak semak-samun yang menjadi habitat burung. Aku dulu-dulu suka pakai seluar yang ada banyak poket supaya senang isi anak-anak batu buat peluru lastik.Bukan saja burung yang aku lastik bahkan mangga penduduk kampung pun aku lastik sama. Biawak curi telur pun aku lastik. Kadang-kadang aku adakan pertandingan dengan kawan-kawan yang bekongsi minat yang sama siapa yang mempunyai tangan paling betul. Biasanya objek yang aku shoot ialah botol atau batang keladi.Kalau hari cuti sekolah, kadang-kadang aku masuk hutan pagi dan balik petang untuk melastik burung. Walaupun hasil tak dapat tapi kepuasan tulah yang penting. Dapat 2 ekor burung satu hari pun jadilah. Tapi biasanya tak dapat apa pun..Kat kampung aku Ropi Pok Nik Isa yang ada skill sikit dalam aktiviti ni.

                                                                     lastik burung
Satu lagi aktiviti yang paling evegreen masa balik mengaji quran atau cuti sekolah ialah Mandi Sungai. Aktiviti  ni memang menguji kemahiran budak kampung berenang. Lagi deras dan dalam air sungai, lagi seronok. Boleh dikatakan hampir semua kawan-kawan yang seangkatan dengan aku terror berenang. Belum ada sejarah tercipta kawan-kawan aku lemas masa mandi sungai walaupun air sungai dalam dan deras.

Macam-macam skill boleh buat
Tapi aku dulu nak dapat duit memang payah... mak aku kurang kasi duit walau 10 sen. Kalau dia bagi pun mesti buat kerja dulu seperti belah kayu api, angkut air di telaga isi dalam besen atas pangkin jemuran  ( tempat basuh pinggan), ambik kayu api isi bawah dapur kayu, pergi bagi lembu minum air, alih lembu dan sebagainya. Pendek kata, kalau nak duit mesti buat kerja dulu. Bukan nak banyak pun.. cuma sepuluh sen. Tapi aku suka menyapu sampah di bawah rumah aku sebab selalu jumpa duit syiling. Kalau aku jumpa duit karat, aku tenyeh dengan tumit kaki hingga berkilat kat atas tanah. Memang masa aku kecik-kecik dulu amat berharga walau 10 sen nilai. Budak sekarang wang RM 10 ringgit pun tak bernilai baginya.

Nak dapat duit sebanyak ni bukan senang. macam-macam kerja kena buat. Umur duit ni sebaya dengan aku.

Ambik air kat telaga isi dalam besen sampai penuh kat atas pangkin rumah

Punggah kayu api masuk bawah dapur sampai penuh
Duit tu kadang-kadang aku beli gula-gula ni la. Gula2 Gambir satu 5 sen
Gula-gula bantal ni dulu 5 sen 2 bijik
Nok gi ngaji mesti kena benda ni dulu. Aiskrim Kelubi Mok Su Esoh Junuh. 

Oleh sebab betapa susahnya nak dapatkan wang maka aku kena pandai-pandai cari buah hutan untuk dijadikan santapan sampingan. Kadang-kadang masa aku pergi melastik burung kat dalam hutan, pelbagai buah hutan aku pungut (kutit) dan aku makan. Selebihnya aku bawa balik untuk makan pada malam hari sambil-sambil baca buku atau buat latihan sekolah.

Ni buah rotan, rasanya taklah sedap sangat tapi boleh layan laa..
Ni buah keriat. Kalau makan banyak dan telan bijinya boleh berak kesat. Bahaya tuuu..
Ni buah Kelubi. Dalam kebun getah aku ada banyak. Masam buah ni, kena jeruk dulu
Ni buah Star. kena jeruk dulu nak makan buah ni atau makan terus cicah garam dan gula.
Buah ni ramai orang tak kenal. Aku panggil buah Kese. Banyak dalam kebun getah aku. 
Ni buah jambu kayu. Rasanya manis kelat. Kalau nak makan kena cicah dengan gula+garam+kicap+cili
Buah Ulat Bulu
Buah Krekup
Buah katak puru
Buah Timun Betik. Sedap kalau makan dengan gula melaka 
Buah Serai Kayu
Buah apa ni eh.. ?? aku panggil buah muting

                       Buah Bertam. Dalam kebun getah aku pun ada buah ni. Rasanya tak sedap sangat

Kat belakang dan depan rumah aku ada beberapa pokok durian. Mak aku selalu jual buahnya untuk menampung pendapatan. Aku adik beradik memang suka berebut kalau buah ni jatuh. Kadang-kadang pukul 4 pagi aku bangun cari lagi kalau bunyi durian gugur. Kalau tak ambik pun bukan ada orang curi tapi nak kumpul untuk dapat komisyen. Sape yang dapat banyak, dialah jaguh. Mak aku akan bagi sikit komisyen kalau aku dapat kumpul buah ni banyak sikit bila dia jual. Kebanyakan baka durian dalam kebun aku mendapat sambutan kerana terdiri daripada durian kampung baka baik. Ye laa.. ayah aku kan kerja di Jabatan Pertanian bahagian kahwin anak pokok, tentu dia akan tanam buah-buahan yang berkualiti.

Buah durian kampung baka baik. Mesti kena berebut baru ada feel..
Selain pokok durian, kat belakang rumah ada ayah aku tanam dengan pokok Durian Belanda, pokok Manggis, Pokok None ( dalam bahasa standard aku tak tahu namanya) dan serba sikit buah-buahan lain. Kalau kena dengan musim boleh buat duit. Pokok jambu air pun ayah aku tanam beberapa pokok selain rambutan Gading dan Rambutan Anak Sekolah.

Durian Belanda. aku panggil duye selat
Buah Kundang. Ada sepokok kat belakang rumah aku

Pokok manggis ada sepokok kat tepi rumah aku. Sampai sekarang pokok ni masih mengeluarkan buah

Pokok rambai ada sepokok. Kulit buah ni mak aku masak buat lauk untuk jamu kat anak-anak


aku panggil buah ni None. Bahasa standard.. ntah
Buah ni memang banyak ayah aku tanam. Boleh buat duit untuk tampung belanja sekolah aku

Mak aku dulu bagi buah ni untuk aku makan kat sekolah. pah tu duit  belanja sekolah dia tak bagi dah laa. Buah ni kira duit belanja sekolah. Adusss.. teruknya mak aku.
Buah nilah yang banyak menyakitkan gigi aku. Bila biji dia masuk kat lubang gigi, Adooiii tak leh tido malam.

Orang sini panggil buah gajus, tapi aku panggil buah ketereh. Ada 3 pokok kat belakang mah aku
Pokok rambutan jenis ni ada 2 pokok ayah aku taruk kat belakang rumah

Rambutan jenis ni ada 5 pokok kat belakang rumah.
Pokok pulasan ada sepokok kat tepi telaga
Pokok betik ada banyak kat tepi dapur kayu. mak aku yang tanam

Kalau musim buah memang aku adik beradik tak kebulur la. Memang ada laa ayah aku tanam serba sedikit untuk anak-anak dia makan nanti. Yang selebihnya boleh dijual atau bagi kepada cikgu-cikgu kat sekolah. Kadang-kadang aku bawa satu guni aneka buahan ke sekolah untuk diberikan kepada cikgu-cikgu sebagai penghargaan mendidik anak-anak kampung aku. Budak-budak lain pun akan lakukan perkara yang sama. Kalau tiba musim buah, cikgu-cikgu pasti kenyang dengan buah sebab ramai murid akan bawa untuk cikgu- cikgu kesayangannya.

Ni aku nak cerita kisah yang palinggg best masa aku kecik-kecik dulu. Budak-budak sekarang confirm tak akan merasa betapa seronoknya menjalani ibadah puasa dan menyambut hari raya. Waaa.. bulan puasa merupakan satu bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua orang islam terutamanya budak-budak macam aku. Walaupun aku baru berumur 6 tahun tapi dah mula berjinak-jinak dengan amalan berpuasa. Puasa dahulu memang tak sama dengan puasa zaman sekarang. Masa dulu-dulu ada musim. Kalau kebetulan puasa jatuh pada musim kemarau, perghhhh.. memang mencabar. Dulu kalau musim kemarau memang panas kaw-kaw punya sampai tanah kat bendang padi pun merekah-rekah. Pukul 10 pagi dah kering tekak apa lagi pukul 2 petang. Matahari tegak berdiri kat atas kepala masa balik dari sekolah. Hausnya tak terkata. Tengok air telaga terasa nak minum biar habis satu telaga airnya. Balik daripada mengaji quran terus ke rumah, tak larat lagi nak main. Ambik kain dan basahkan kemudian letak kat atas dahi sambil tidur. Kadang-kadang kalau tak tahan sangat pergi mandi dulu. Lepas kena air telaga segar sikit la rasa badan. Nak tunggu azan magrib dilaungkan jenuh aku tengok jam kat dinding. Hampir sepuluh minit sekali. Bila mak tanya nak buka puasa dengan apa.. hampir satu muka kertas buku latihan aku senaraikan makanan yang aku nak makan masa berbuka. Minggu pertama puasa boleh tahan lagi, masuk minggu kedua perghhh... nak angkat kaki balik sekolah pun rasa tak terdaya nak mengangkatnya. Lepas balik mengaji quran terus terjelepok kat atas pangkin, lembik macam kain buruk. Kadang-kadang mak aku tak kejutkan aku waktu bersahur kerana dia tak sampai hati tengok aku berpuasa, teruk sangat beb. Sekali nenek aku kata boleh minum air telaga kalau budak-budak berpuasa sebab tuhan bagi kelonggaran pada budak-budak yang berpuasa. Aku yang percaya cakap dia terus minum tanpa berfikir panjang. Padahal dia hanya tipu aku sebab tak nak bagi aku pengsan akibat terlalu letih dan haus. Tragis betul aku puasa dulu-dulu tapi masih kuatkan semangat untuk terus berpuasa walau tak berdaya kerana malu kat kawan-kawan sebaya yang turut tidak meninggalkan puasa.

Pada waktu malam, selepas sembahyang maghrib, aku ramai-ramai pergi sembahyang terawih. Selepas terawih ada sedikit jamuan moreh. Biasanya dihidangkan cendol dalam sirap atau bubur caca atau bubur kacang gilir-gilir sediakan. Haa.. balik daripada sembahyang terawih ni la yang aku nak cerita ni. Bagi mereka yang ada duit, boleh la pergi makan cicah kerang atau cicah keropok tapi bagi aku yang tak pernah ada duit ni ke tepi sawah lah jawabnya MAIN MERIAM BULUH berlawan dengan geng jiran sebelah. Berdentum-dentum bunyinya. Lagi kuat lagi bagusss.

Nak main ni kena ada keberanian tau... Berani cucuh dan berani meghadapi kena tarik telinga bila balik rumah nanti.
Kadang-kadang aku pergi sembahyang terawih awal kerana ada sesuatu yang hendak dibuat. Biasanya sebelum bilal azan isyak, budak-budak kampung aku ada aktivitinya iaitu beli tikam-tikam. Yang anehnya, judi tikam-tikam ni bila bulan puasa dan musim raya je ada. Bulan-bulan lain tak de la pulak.. Kat kampung aku tauke besarnya ialah orang panggil Mira Moknat. Dialah taukenya...aku ada hutang dengan dia 20 sen. sampai sekarang masih tak bayar. Dengan tauke Paid aku juga ada hutang 50 sen juga sampai sekarang tak bayar-bayar.

Gambar Ni tikam klasik. Yang moden sikit ialah tikam Kung Fu , Tikam Dayak Red Indian dan tikam Popeye. Ada juga tikam rokok dan tikam mercun tetapi satu teket harga 10 sen.
Aku dulu pun pernah jadi taiko tikam ni. Satu papan ni dapat la untung 4.80 sen
Bila tiba dekat nak raya lagi meriah. Dengar lagu-lagu hari raya Dendang Perantau, Selamat Hari Raya, Bila Tiba Hari Raya, Balik Kampung dan lain-lain yang evegreen berkumandang dicorong-corong radio membuatkan aku lagi tidak sabar untuk menyambut hari raya. Di tambah seorang demi seorang abang-abang dan kakak mula pulang untuk menyambut hari raya bersama lagilah meriah. Rumah buruk yang dulu ada 4 beradik kini bertambah.
Radio yang mendendangkan lagu-lagu raya evegreen Sanisahuri, Foziah Joned , Sharifah Aini dan Ahmad Jais  apabila tibanya musim raya.

Memang berbeza feel raya dulu dengan raya sekarang. Sangat jauh bezanya. Hanya orang dulu-dulu yang tahu perbezaannya. Kita dulu-dulu berpeluang dapat duit lebih sikit pada hari rayalah. Dapat permainan canggih sikitpun kena tunggu hari raya. Nak dapat baju baru kena tunggu hari raya.Nak pakai kasut baru kena tunggu hai raya. Nak makan sedap sikit pun kena tunggu hari raya. Pendek kata, segala-galanya ada pada hari raya. Hebat sungguh raya dulu-dulu.Dengar takbir raya rasa macam nak nangis.Menusuk kalbu.  Tak lena nak tidur kalau malam raya. Berpuluh-puluh kali dok cuba baju, seluar dan kasut baru. Siap letak dan susun kat kepala tidur tuuu..


Kalau hari biasa hanya dapat pegang syiling 10 sen, kalau hari raya barulah berpeluang pegang duit kertas macam ni
Hari raya juga kita mampu beli benda ni
Main benda ni pun ayah tak marah kalau hari raya
Aku dulu lepas sembahyang raya terus pergi ke kedai cina kat kampung aku beli permainan-permainan yang menjadi idaman.Kat kampung aku ada la dalam 4 buah kedai runcit cina. Salah satunya ialah kedai Mek Kelly, Kedai Tong, Kedai Chuan. Lepas balik dari bershopping kat kedai cina, terus pergi ke kubur. Biasanya kat kubur akan ada orang yang bagi air oren atau sarsi kat budak-budak. Aku minum sampai sendawa-sendawa. Air gas dulu-dulu memang power dia punya gas.

Air gas dulu-dulu
Belon tiup ni pun aku selalu beli masa hari raya

Okey... habis cerita pasal raya, sekarang aku ceita bab lain pulak.Kat kampung aku dulu tak ada eletrik jadi semua rumah kat kampung aku guna api pelita minyak tanah. Tak ada sebuah rumah pun yang ada peti ais, mesin basuh, blender, televisyen,periuk eletrik dan sebagainya yang menggunakan kuasa eletrik. Mak aku dulu kalau ada ikan lebih dia buat pekasam aje atau belah jemur kering. Kalau ada lada lebih dia tumbuk buat sambal pah tu simpan. Aku rasa tak menjadi masalah kalau tak ada eletrik pun. Rumah aku tak ada pendingin hawa, tak ada kipas angin tapi lena jugak tidur.Kalau hawa panas buka aje tingkap.

Pelita minyak tanah untuk menerangi malam yang gelap gelita
Masa dulu, bila aku baca buku pada malam hari asyik dok berebut pelita dengan adik beradikku yang lain. Masing-masing nak cahaya agar dapat lihat jelas sikit baris-baris ayat dalam buku teks sekolah. Biasanya aku baca buku sambil meniarap kerana dalam rumah aku tak ada apa-apa perabot pun. Hanya tikar mengkuang usang aje yang jadi pengalas perut.Kadang-kadang, sedang asyik membaca buku tiba-tiba bau hangit rambut aku terbakar kena api pelita. Pensel aku banyak yang hitam badannya sebab hobi aku bakar pensel. Sedap tengok api menjalar membakar badan pensil. Bosan dengan sikap anak-anak yang asyik dok berebut pelita, akhirnya ayah aku beli lampu gaslin, terang lah sikit aku adik beradik nak menelaah buku dan buat kerja sekolah.

Ni lah dia rupa lampu gaslin. Juga pakai minyak tanah.
Salah satu buku teks sekolah aku dulu-dulu

Rumah aku dulu letaknya di dalam kebun getah, kalau musim daun getah luruh, aku suka bakar daun-daun getah kering bila malam hari. Kalau petang-petang hari selalu dengar buah getah pecah. Berderai jatuh atas zink. macam satu terapi alam pulak bunyi buah getah pecah.

Buah getah yang meletup berkecai jatuh ke tanah bila musim buah getah pecah. Kulit dia tu boleh dicipta buat gasing
Kalau aku boring-boring biasanya aku masuk bawah rumah kemudian cari ibu undur-undur buat main. Ibu ni kita letak atas lantai kemudian tepuk kuat-kuat pasti dia akan megundur. Semakin ditepuk semakin megundur.
Nilah rupanya ibu pak undur. Bukan Virus komputer tauu
kalau nak sedap lagi pergilah kat baruh padi cari anak sepilar ( sejenis ikan laga ) lepas tu boleh laga ikan sepilar. Biasanya ikan sepilar yang hitam lebih berani melawan. Ikan sepilar gajah lagi besar saiznya.

Ikan sepilar ni dah tewas berlaga sebab dah keluar dia punya belang-belang kat badan
Dulu ada musim kemarau, bila tiba musim kemarau biasanya petak-petak sawah dan alur tali air akan kering airnya. Pada masa nilah amat sesuai untuk menimba ikan. Biasanya aku dengan Hadi tak menang tangan pergi cari kubang untuk ditimba. Bawa satu cangkul, parang dan dua baldi kecik atau tin cat pun boleh. Bila jumpa kubang, apa lagi... terus timba. Bila air semakin kering, seronok tengok liuk-lintuk pelbagai jenis ikan sawah. Masa nilah aku guna kepakaran menangkap ikan. Biasanya kalau ikan besar aku terus tetak dengan parang. Tapi kalau ikan keli kena ada teknik untuk menngkapnya takut terkena sengatnya.

Lebih selamat kita gunakan sauk untuk tangkap ikan keli
Kadang-kadang kalau ada lubuk yang dalam tak boleh guna baldi untuk timba. Jadi kita guna enjin. Ada kalanya sampai dua hari baru kering airnya tapi ikan pasti banyak dan besar-besar sebab lubuk.

Tempat-tempat lubuk mesti timba palai ni
bila air dah kering barulah boleh mengagau ikan
Kadang-kadang aku pergi cari siput sawah. Kat bendang padi memang banyak siput sawah. Siput sawah amat sedap kalau masak lemak campur daun kadok.Makan nasi lauk siput rasa tak nak behenti.Selain siput, dalam sawah juga ada banyak ikan darat. Biasanya aku tahan joran umpan cacing gelang. Setakat nak dua hari makan memang boleh dapat kalau kena harinya. Aku dengan Hadi pantang cuti sekolah, kat tengah bendanglah tempat aku menenangkan fikiran.
Sawah padi macam ni memang aku pantang tengok.. naik syekhhh
Aku dulu kalau nak tengok TV cuma hari Jumaat malam sabtu je ayah aku kasi keluar sebab pada malam tu ada tayangan filem Melayu jam 8.30 malam kat TV1.Biasanya cerita-cerita purba jenis Lang Buana yang ditayangkan seperti Harimau Berantai, 6 Jahanam, Sumpah Orang Minyak dan sebagainya. Aku cukup minat dengan pelakon filem Pendekar seperti Hussin Abu Hassan, Mahmud Jun dan Latif Bogiba yang selalu memegang watak jahat. Watak hero pula aku suka Kuswadinata, Jins Shamsuddin dan Nordin Ahmad. Biasanya aku tengok cerita ni di kedai kopi Kak Yoh Cik Hassan. Kedai tu lah satu-satunya kat kampung aku yang ada tv pakai generator. Semua orang kampung berkumpul kat situ untuk menonton filem Melayu. Meriah macam kat panggung wayang.



TV jenis nilah yang banyak memberi jasa kepada penduduk kampung Batu Gajah dulu-dulu
Soal hiburan memang ayah aku tak pernah menghalang untuk pergi kerana dia tahu dia tak mampu untuk menyediakan hiburan untuk anak-anak. Kalau ada dikir barat atau wayang kulit yang dimainkan kat kampung aku, ayah aku galakkan aku adik beradik pergi. Dia sanggup bagi duit lagi sorang lima puluh sen untuk beli kacang putih atau kacang rebus.Persembahan Dikir Barat dulu-dulu memang memakan masa yang lama untuk tamat. Biasanya mula pukul 10.00 malam dan berakhir pukul 5.00 pagi. Mak aku memang minat dengan dikir barat, selalunya dia angkut semua anak-anak untuk pergi tengok persembahan dikir barat siap bawak tikar dengan surat khabar buat lampik ( sebelum pegi mekah ). Ada yang siap bawak bantal untuk anak-anak tidur. Biasanya persembahan dikir barat dimainkan bila habis musim menuai padi. Persembahan tu diadakan di petak sawah yang dibersihkan. Bangsal dikir barat biasanya akan didirikan secara gotong royong. Teket untuk masuk ialah Rm1.00 bagi orang dewasa dan kanak-kanak 50 sen saja. Antara pendikir tersohor masa aku budak-budak dulu ialah Deraman Anak Keli, Mat Yeh, Daud Bukit Abal, Ripin Ana, Faridah Bobby dan Seman Wau Bulan.

Persembahan dikir barat dulu-dulu. Pelopornya ialah Pak Leh Tapang
Seman Wau Bulan antara pelopor Dikir Barat
Wayang kulit dan Mak Yong juga antara persembahan kebudayaan tradisional masyarakat Kelantan dulu-dulu yang biasa dimainkan selepas musim menuai. Persembahan ni mengambil masa satu minggu untuk dihabiskan kerana ceritanya bersambung-sambung. Oleh itu, satu minggu jugalah aku akan keluar rumah dan terpacak di hadapan panggung untuk menghabiskan cerita tersebut.

Persembahan wayang kulit kisah buah nako dan Bunga Andani Bunga Andano

Persembahan Mak Yong kisah Raja Monyet turun dari kayangan
Selain Wayang Kulit dan Mak Yong, wayang pacak juga antara bentuk hiburan yang selalu dimainkan masa aku kecik-kecik dulu. Wayang ni biasanya percuma sebab dia tayang untuk jual produk seperti ubat-ubatan tradisional tapi cerita yang ditayangkan adalah cerita lama seperti cerita hindi. Aku pernah tengok cerita Bobby dan Naseeb yang ditayangkan melalui wayang pacak. Cerita terakhir yang aku pernah tengok melalui wayang pacak ialah cerita Azura. Cerita ni memang mendapat sambutan hebat. Tiket untuk masuk menontonnya ialah Rm1.00 dan tempat tayangannya di padang sekolah aku.

wayang pacak 
Cerita nilah yang menjadi kegilaan muda mudi di kampung aku dulu. Masa cerita ni ditayangkan  aku  berada dalam tingkatan satu. Lokasi tayangannya ialah di tapak perhimpunan SM Batu Gajah.

Itulah serba sedikit notalgia yang amat sukar untuk aku lupakan.Cerita ni aku kongsi kerana aku yakin ramai orang di luar sana yang menempuhi pengalaman seperti aku.Perit jerih aku hidup semasa aku budak-budak dulu memberi aku pengalaman yang sungguh manis untuk dikenang. Walaupun umur aku semakin meningkat, aku tidak mahu pengalaman yang pernah dilalui ini terkubur begitu sahaja kerana mungkin ada generasi aku yang boleh ambik pengiktibaran dengan kisah aku ni. Mereka kena bersyukur hidup di zaman yang serba mewah. Apa yang diingini boleh dapat dengan cara yang mudah.

Sekian Terima Kasih.
* Gambar-gambar yang dimuatkan dalam rencana ini adalah 80%  muat turun daripada GOOGLE.

2 comments:

  1. Mamang Nostalgia bila baca ini cerita dulu-dulu...tinggal kenangan

    ReplyDelete
  2. sy lahir thun 90 an tp msh smpat mnikmati knangan2 ni....mmg best...org skarg dh xder dh knangan ni....

    ReplyDelete