Saturday 28 July 2012

SEDIKIT TAZKIRAH PUASA DARI USTAZ AMATUR MATDINGUNUNG

Wah.. sekejap je seminggu ke seminggu ye, hari ni dah lebih seminggu kita menyempurnakan ibadah puasa dalam tahun 2012 ni. Syukur alhamdulillah, nampaknya anak-anak aku masih boleh bertahan walaupun puasa dalam dua tiga hari ni betul-betul mencabar kerana cuacanya tidak mesra bagi orang-orang yang berpuasa. Panas melekit, terasa kering sampai ke kulit. Anak tekak tak usah cakaplah. baru pukul 11 pagi tengok air perghhh.. bagai nak terkam rasanya. Dua hari lepas, aku terima panggilan telefon daripada Aina masa dia kat kantin sekolah pada masa rehat.  " abah, Aina bukak puasa ye! haus laa.. tak tahan. Aku jawab. "eh.. jangan..jangan..jangan.. dah pukul 3 ni. Dah dekat nak maghrib ni. Sabar dulu" Aku tahu Aina masih belum akhil baligh, tapi aku tak nak ajar dia selesa dengan tak puasa takut nanti asyik mintak nak ponteng puasa aje.
Letihnya Aina berpuasa 
Athir puasa walau separuh hari tapi gaya dia punya letih macam 3 hari tak makan. 

Memang budak-budak cukup bersemangat menjalani ibadah puasa. Walau lapar dan dahaga macam mana sekalipun, iman mereka tidak goyah untuk mintak nak ponteng puasa. Mereka berusaha untuk terus bepuasa sehingga tamat bulan Ramadhan. Ada sesetengah ibu bapa memberi ganjaran kepada anak mereka yang berpuasa bertujuan untuk melatih anak-anak supaya semangat berpuasa. Ada sesetengah orang tidak setuju sekiranya kita menawarkan ganjaran untuk menggalakkan anak berpuasa takut dia berpuasa bukan kerana Allah tetapi inginkan ganjaran. Bagi pendapat aku, apa salahnya kita berikan dia upah berpuasa masa dia masih budak-budak kerana dia masih belum mengerti lagi tentang kewajipan bepuasa. Bila dia dah besar dan sudah faham bahawa bepuasa ni adalah salah satu rukun islam yang wajib ditunaikan oleh setiap orang islam maka tak perlu lagi kita bagi upah. Anak sulung aku dulu, aku bagi seringgit satu hari sampai dia darjah dua, kemudian selepas tu aku dah tak bagi lagi. Dia pun dah tahu puasa itu tanggungjawab dia sebagai seorang islam maka dia pun tak tuntut apa-apa selepas tu sehingga sekarang.
Yang aku peliknya.. masih ramai orang dewasa yang tak berpuasa. Ada sesetengah tu, rumah kata pergi, kubur kata mari, masih lagi tanpa segan silu dengan selamba je beli nasi bungkus tengah-tengah hari buta. Kalau tak caya, cuba kita pergi cari tempat orang jual nasi kemudian tunggu kat situ. Kita akan dapat lihat orang-orang yang ponteng puasa tak putus-putus datang beli nasi tak kira tua atau muda. Tahun lepas masa aku pulang untuk beraya kat rumah kakak ipar aku, kebetulan pada masa tu kakak ipar aku tu tengah renovate rumah, tukang-tukang rumah dengan selamba je minum dan makan, siap hisap rokok sambil bekerja. Setangkai demi setangkai rambutan kakak aku yang sedang berbuah dikebasnya. Anak-anak aku yang tengok perbutan mereka tanya aku kenapa pakcik-pakcik tu tak puasa? Jenuh aku mencari jawapan yang tebaik untuk menjelaskan kepada mereka.Yang pakcik tu pula satu hal. dah lah tak puasa, makan pula secara terbuka di hadapan budak-budak tanpa rasa malu sikitpun.
Satu lagi peristiwa. masa aku keluar ke pekan nak pegi beli surat khabar, dengan tak sengaja aku terpandang ramai orang berkerumun dalam satu warung. Aku pun berhentikan motosikal lalu perhati dari jauh. wah.. rupa-rupanay ada seorang makcik sedang sibuk membungkus nasi untuk kaki-kaki ponteng puasa. Pelbagai umur pulak tu. Alahaiii makcik.. kok ye pun rezeki macam tu pulak yang makcik cari untuk bagi makan anak cucu.Walaupun dari segi zahirnya memang mencari rezeki tapi sebenarnya dah kira besubahat yang mana makcik akan sama-sama terjun ikut mereka ke neraka.
Satu hari tu aku pegi tepi sungai kat kampung aku, konon nak pegi ambik buah ara untuk buat ulam dan dibubuh ke dalam masakan kerutuk daging. Tiba-tiba aku tengok ramai la jugak anak-anak muda sedang masak mee meggi. Ada sesetengah tu sedang enak menghisap rokok. Ponteng puasa la tuuuu. Ada jugak jenis orang yang boleh tahan lapar dan dahaga masa berpuasa tetapi yang dia tak boleh tahannya ialah merokok. so.. dia pun masuk ke dalam semak semata-mata nak isap rokok.Maknanya, ada orang sanggup ponteng puasa sebab nak isap rokok je. Sebab tu lah ada orang yang berpuasa, bila je dengar azan terus hidupkan lighter bakar rokok tanpa menjamah sebiji kurma atau meminum seteguk air. Eeee... teruknya. Nilah dia yang dinamakan perokok tegar.

Amalan yang sukar untuk dihapuskan  oleh perokok tegar walaupun bulan ramadhan.
Aku dulupun memang jahil juga, masa aku masih budak-budak memang perfect berpuasa, tapi bila dah remaja mula laa peragai nakal datang. Mungkin pengaruh kawan-kawan yang jahat kot. Tapi bukan selalu.. sekali sekala jee.. Pernah masa aku kerja kat kilang buat jubin di Air Hitam Johor, sekali sekala aku ponteng juga puasa sebab tak tahan dengan haus. Aku kerja di bahagian press iaitu terpaksa bergelumang dengan habuk dan suhu yang panas, jadi cepat sangat haus. Ada hari-hari yang aku tak tahan sangat kantoi jugak puasa aku. Tapi yang aku peliknya, kat kantin kilang aku bekerja tu sama saja kuantiti makanan yang dijualnya sama ada bulan puasa atau bulan biasa. Pelanggannya juga lebih kurang sama. Oh.. rupa-rupanya tempat-tempat macam ni biasa je orang tak puasa. Minah-minah dan mamat-mamat yang kerja kat bahagian admin pun tak larat jugak nak puasa. Padahal mereka kerja dalam pejabat yang berhawa dingin. Macam aku ni lainlah... kan.
Masa aku kat kampung dulu, amat jarang aku tengok orang yang tak berpuasa. Kalau dia ponteng puasa sekali pun dia tak mengaku yang dia tak puasa. Dia makan pun menyorok jauh daripada pandangan orang. Tapi bila aku besar sikit dan mula keluar dari bawah tempurung ( berhijrah ke bandar ), wah.. macam-macam karenah manusia aku jumpa. Masa tu aku baru lepas tingkatan lima, datang ke bandar nak kerja la konon-kononnya. Aku tumpang tinggal di rumah sewa kawan aku kat Taman Greenwood, Gombak Ada teman serumah kawan aku tu namanya Mat Yee, umur dia dah mencecah 40 tahun tapi tak pernah berpuasa. Mat yee ni dia kerja malam dekat-dekat tu je. Setiap kali waktu sahur si Mat Yee ni akan bawa balik juadah bersahur untuk kawan-kawan serumah. Tapi yang peliknya dia ni memang tak suka puasa. Ada jiran sebelah rumah aku pulak satu hal, tak pernah puasa jugak. Setiap hari bininya akan masak untuk makan tengahari. Mithali betul isterinya.. sekali tu aku nak pergi buang sampah kat rumah sampah. Aku lalu la ikut lorong belakang rumah aku. sempat juga aku curi-curi pandang ikut cermin nako dapur jiran aku tu.. enak je dia sekeluarga sedang lunch dalam bulan ramadhan. Anak, bini, laki sama saja beb.. tulah orang kata bapa borek anak rinti. isteri ikut. Bukan nak menabur fitnah, tapi kalau setiap hari dengar orang goreng ikan dan bau yang enak di tengah hari bulan ramadhan mesti ada something wrong. tak gitu??? Ah.. lantak dia lah. Moga-maga di saat ini jiran aku dulu tu dan Mat Yee sedang menjalani ibadah puasa sekarang ( harap dah insaf )
Rupa-rupanya ramai jugak manusia yang beragama islam ni yang ingkar suruhan tuhan. Mungkin mereka tidak takut dengan azab tuhan yang bakal diturunkan. Bila dah masuk kubur nanti, baru kenal langit tu tinggi rendah, janji tuhan benar ataupun tidak. Bersedialah untuk jawab soalan-soalan cepu mas daripada Mungkar dan Nakir nanti.Kalau dah berada di padang mashyar baru nak insaf dak tak de guna. Peribahasa kata nasi sudah menjadi bubur. ( tazkirah sikit, chee wah..)

Bulan puasa ni nabi menyuruh kita memperbanyakkan amalan sebab pada bulan ini Allah janjikan pelbagai ganjaran kepada hamba-Nya yang tidak ditawarkan pada bulan-bulan yang lain. Ramai orang sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk menjalani ibadah puasa di Tanah Suci Makah. Bulan yang penuh keberkatan ini lebih feel sekiranya kita lakukan di tempat di mana orang ramai berebut-rebut mengejar akhirat dan keredhaan Allah terutamanya pada sepuluh akhir ramadhan.

Berpuasa di Masjidil Haram memang impian semua orang yang beriman

Pada bulan puasa juga banyak masjid menyediakan imam-imam yang didatangkan khas dari luar atau budak-budak sekolah tahfiz untuk mengimamkan solat sunat teraweh. Malam tadi aku sembahyang teraweh di masjid Al-Mukminun di USJ 9, imam diimport khas dari Mesir namanya Al-Jibril. Bacaannya memang menusuk kalbu padat dengan taranum. Tak jemu berdiri dua jam untuk lapan rakaat mendengar kemerduan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci dari juzuk 10 hingga juzuk 12.
Pada bulan ramadhan juga ramai yang suka menderma (peminta sedekah juga ramai). Banyak syarikat korporat atau hartawan mengadakan majlis-majlis berbuka puasa menjemput orang-orang yang tidak bernasib baik untuk sama-sama merasa kemeriahan di bulan ramadhan. Rumah-rumah anak yatim tak menang tangan menerima jemputan majlis berbuka puasa. Dalam kita dok ghairah menderma, kita juga jangan lupa akan masyarakat islam di dunia luar yang ditindas oleh pemimpin mereka contohnya masyarakat Rohingya atau rakyat Palestine yang ditindas oleh Yahudi dan Amerika serta masyarakat islam yang kebuluran akibat perang saudara dan bencana alam di negara mereka terutamanya masyarakat islam di negara-negara Afrika.Mereka semua memerlukan bantuan dariapada masyarakat luar yang sama-sama menganut agama Allah seperti mereka.

Kongsikan sedikit rezeki yang kita miliki dengan mereka yang tidak bernasib baik
Kalau kita orang berada jangan kedekut untuk meringankan kedukaan orang lain
Pada bulan puasa juga kita dituntut supaya tidak membazir. Ramai orang yang berpuasa tidak tahan dengan nafsu makan. Kalau pegi kat bazar ramadhan, semua benda yang ia nak beli. Sampai tak cukup sepuluh jari untuk sangkut plastik makanan. Last..last.. bila bunyi azan, air dulu dua tiga kole dibahamnya. Tengok makanan lain dah tak ada selera sebab perut dah full dengan pelbagai jenis air. Kalau boleh masuk pun, sedikit kuih dan sedikit nasi saja lagi  Alamatnya, segala kuih muih seperti nekbab, akok, roti john, kebab, murtabak, ondeh-ondeh, burger king, mee soto, rojak mamak, nasi ayam, nasi tomato dan sebagainya yang menjadi nafsu mata tadi dah tersadaiiiiii. Perut dah banyak isi, mula laa penat, pah tu terus terlelap. Maghrib entah ke mana, sunat teraweh entah ke mana, sembahyang isyak buat masa bangun sahur. Makanan yang dibeli petang kelmarin akhirnya ke bakul sampah juga tempat ditujunya.


Nafsu mata.. hampir semua makanan yang dijual kat Bazar Ramadhan nak dibelinya.
Berbukalah seadanya sepertimana yang dituntut oleh ulamak
Bila terlalu kaya, beginilah pulak jadinya.. takbur. Sepinggan nasi seekor kambing. perghhh..

Bagi yang berduit sikit, mereka berbuka di hotel. Banyak hotel menyediakan pakej berbuka atau bahasa glamour buffet ramadhan. Bayar Rm 60- Rm80 untuk satu kepala. Kalau satu keluarga makan, terbanglah dalam dua tiga ratus. Makanan yang disediakan panjang macam kereta api. Pelbagai aneka lauk dan dessert disediakan. Pelbagai jenis masakan kampung, masakan pantai timur, masakan utara, masakan barat, kadang-kadang kambing golek pun ada. Sambil berbuka kita dihiburkan oleh kumpulan-kumpulan nasyid yang dijemput khas ataupun artis-artis terkenal. waaa... kita pun berbukalah. ambik makanan banyak-banyak, lepas tu yang ni jamah sikit, yang tu jamah sikit yang lainnya throw in the bakul sampah. Fuhh..yang kita makan cuma nilainya RM 10.00 saja tapi yang kita buang tu lah harganya rm 50.00. Makanan yang banyak lebih biasanya pihak hotel tak simpan untuk esok tapi terus dibakulsampahkan. 
Adakah kita berpuasa semata-mata untuk ini?


Makanan yang diatur panjang macam keretapi, tup..tup.. semua ni dalam bakul sampah  juga akhirnaya.

Membazir...membazir...membazir... Anak-anak orang miskin menangis sebab tak dapat makan, tapi anak-anak kita menangis sebab kena paksa makan. 
Anak orang miskin menangis sebab tak de makanan

Teringat aku satu kisah yang diceritakan oleh ustaz yang memberi ceramah ramadhan kat surau baru-baru ni tentang salah seorang jemaah Somalia bertanya kepada Mufti Arab Saudi. Begini lebih kurang terjemahannya "Tuan.. kalau kita puasa tak berbuka apa hukumnya "? Mufti jawab.."Makruh.. kita kena berbuka sebab itu sunnah nabi walau dengan sebiji tamar". Dia tanya lagi "Tuan, kalau kita berpuasa tapi tak sahur sah ke tak? Mufti tu jawab," bersahur juga sunah nabi yang mana nabi menggalakkan umatnya bersahur walau dengan sebiji tamar dan seteguk air". Dia kata kat mufti tu.. "oh.. saya sebenarnya tuan setiap hari berpuasa. tapi tak pernah berbuka dan tak pernah bersahur sebab tak ada makanan untuk berbuka dan bersahur.
Add caption

Moralnya.. kalau kita dimurahkan rezeki berpada-padalah berbelanja dan bersyukur. Banyak bersedekah untuk membantu orang yang tidak bernasib baik. Tunaikanlah zakat kerana itu sudah menjadi kewajiban setiap orang yang beragama islam. Beramallah sebanyak- banyaknya dalam bulan yang penuh barakah ini. Elakkan daripada terus-terusan melakukan pembaziran.  Sekian saja tazkirah ringkas daripada ustaz amatur Matdingunung, terima kasih.. Assalamualaikum warah matullah hiwabarkatuh.

Beramallah kita.. kogsilah rezeki dengan mereka walau hanya sebiji tamar

Berilah.... kepada mereka yang memerlukan. Kita mampu mengubahnya.


Sebelum tekan pangkah, layan dulu gambar-gambar sumbangan google ni untuk  santapan minda.

Ngatok mato laa pulok..


Nyenggenggg buleh smeta.


Hausnyaaa.. berpuasa dalam suhu 40 darjah celcius
Letihnyaa..
Tak tahan sangat ni.. kalau iman nipis tentu dah ponteng puasa.

Adusss.. penat semacam la pulak hari ni


Sekali sekala berbuka kat luar best jugak.. kat atas MIG pun boleh  sambil-sambil ambik angin.
Berniaga di Bazar Ramadhan untuk dapatkan duit lebih buat raya.. ye tak Banjar Hitam?

Bulan puasa kalau memandu, bila baca signboard jalan nampak niiiiii jee.

No comments:

Post a Comment